Ahad, 12 Januari 2014

be a good and nice?

“Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
“Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu.”
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum sampai seru!’ alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
“Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.”
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Jumaat, 10 Januari 2014

Makna Cinta

ANDAI ditanya kepada 10 orang lelaki dan 10 orang wanita akan makna cinta buat diri mereka, pasti jawapannya yang diperolehi adalah 20 jawapan yang berbeza dan antara jawapan yang popular adalah,“Cinta itu subjektif.”

Benarkan begitu?
Benarkah cinta itu subjektif dan bukan bersifat objektif?
Ya, kita akui makna kepada cinta sudah dikaburi dan dikelabui dengan pelbagai anasir dan mehnah semasa yang terus membawa kemuliaan dan keindahan cinta daripada makna sebenarnya.
Dalam al-Quran ada menyebut mengenai limitasi cinta  yang membebat minda dan nubari umat manusia keseluruhannya. Allah nyatakan manusia sengaja diciptakan oleh-Nya dengan sifat itu.
Firman Allah yang bermaksud;
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kecintaan (al-hubb) kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”    (Surah al-Imran 14)
Secara literal dapat kita fahami bahawa Allah memang sengaja mencipta fitrah kecintaan yang disukai oleh nafsu iaitu:
1.       Perempuan
2.       Anak-pinak
3.       Harta benda yang banyak daripada emas dan perak
4.       Kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak
5.       Kebun-kebun tanaman.
Nampaknya kesemua kriteria tersebut boleh dikiaskan dan dinisbahkan dengan kitaran hidup kebanyakan manusia pada hari ini yang;
Apabila sudah dewasa dan matang (kadang-kadang tidak cukup dewasa dan matang sekalipun), atau hari ini pengukurnya adalah setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda dan mula bekerja, rasa ingin berteman atau lebih spesifik mencintai dan dicintai oleh pasangan masing-masing sehingga bekahwin.
Kemudian keinginan memiliki zuriat untuk mencintai dan dicintai bagi melengkapkan kehidupan sebagai sebuah keluarga. Pastinya mahu mengumpul sebanyak yang termampu harta benda sebagai tuntutan perjalanan kewangan semasa dan masa depan kemudian memiliki kenderaan yang selesa dan mempunyai rumah atau kawasan sendiri yang mempunyai kawasan dan permandangan mendamaikan.
Kemudian Allah nyatakan pada akhir ayat tersebut“Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Mesej yang jelas dan padu daripada Allah buat hamba-Nya bahawa ada kecintaan yang lebih besar perlu dikejar kerana kecintaan tersebut punya nilai yang besar di sisi-Nya malah menjamin hamba-Nya itu ke syurga abadi.
Rumusannya adalah, Allah memberikan kriteria yakni hanya kecintaan yang akhirnya membawa manusia kembali kepada-Nya sahaja akan dijamin syurga abadi di akhirat kelak. Bermaksud, kecintaan yang tidak membawa kepada Allah akan mendapat natijah sebaliknya. Justeru, setiap kecintaan kepada perempuan, anak-pinak, harta benda, kenderaan dan kebun tanah sendiri perlu membawa di pencinta kepada Allah bukan sebaliknya.
Tahukah kita akan cinta itu? 

Ada kurang lebih 60 istilah yang boleh dinisbahkan kepada cinta? Selain daripada perumpamaan seperti singa dan pedang, bencana yang besar, arak yang memabukkan dan pelbagai perumpaan yang dijadikan bahasa ekspresif golongan pencinta khususnya mereka yang pandai menukang syair dan puisi serta sajak.
Demikian dinyatakan oleh ilmuwan Islam besar, Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. yang merupakan anak murid kanan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.h. dalam karya yang berjudul Raudatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqin.
Untuk menjadi seorang pencinta sejati dan mahu meletakkan kecintaan tersebut pada tempat yang sepatutnya, menjadi kawajaran kepada kita untuk mengetahui dan memahami akan istilah-istilah daripada dasar kepada kecintaan itu sendiri.
Cinta yang membawa kepada sebaik-baik tempat kembali yakni di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sabtu, 4 Januari 2014

jiwang karat bersalut islamik

 Sejak akhir-akhir ni, ramai yang sudah mulai sedar mengenai haramnya bercouple sebelum nikah. Mungkin ramai yang kurang setuju dengan pendapat syadid ini. Apapun pandangan yang ada… Alhamdulillah, ianya sedikit sebanyak membawa satu perubahan yang sangat positif. Ramai yang semakin berusaha untuk mencari nilai cinta “High Class”.Tapi….Tidak dinafikan adakalanya diri ini naik mual dengan ayat-ayat yang di’post’ di alam maya, seperti..“Duhai mujahidku, mujahidahmu menanti di sini”“Wahai my future husband, saya sedang upgrade diri saya ni. Di manakah anda?”“Nak solat tahajjud sama-sama dengan suami nanti…”“Kasih saya hanya untuk suami”Dan berbagai-bagai lagi status jiwang karat bersalut islamik di’post’ di alam maya.Ya, cinta itu fitrah insani, tetapi tak perlulah sehingga terlalu berjiwang-jiwang dan berangan-angan di alam maya.


Ingatlah… isu ummah bukanlah couple yang dianggap halal semata-mata, tetapi banyak lagi sebenarnya. Isu membalut aurat dan bukannya menutup aurat, isu syria, isu palestin, dan banyaaaak lagi yang perlu kita titikberatkan.Dan, kita juga perlu ingat, kita berubah menjadi lebih baik bukanlah kerana inginkan teman hidup yang baik semata-mata, tetapi kita ingin mendapatkan redha Allah!Kenapa saya titikberatkan hal ini?Cuba bayangkan. Kita upgrade diri kita menjadi orang yang lebih baik (contoh: memakai tudung) dengan harapan akan mendapat pasangan hidup yang baik, kerana janji Allah dalam surah an-nur.Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”(Surah an-Nur ayat 26)Kemudian ditakdirkan Allah kita tidak mendapatjuga pasangan hidup yang baik, sebaliknya dapat pula pasangan hidup yang kurang baik. Mungkin kita akan kecewa dengan Allah, dan mengatakan Allah memungkiri janji-Nya. Pada saat itu, ada tak kemungkinan untuk kita kembali menjadi seorang yang freehair? Ada kan?Sedangkan Allah telah berfirman lagi:“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?”(Surah al-Ankabut ayat 2)


Matlamat kita perlu jelas, iaitu untuk mendapatkan redha Allah dan mendapatkan syurga-Nya. Oleh itu, walau apa pun yang kita buat, biarlah ianya diniatkan kerana Allah!