Isnin, 16 Disember 2013

berbahagialah dengan konflik...

Apa khabar sahabat-sahabat semua? Semoga dikurniakan Allah kesihatan yang baik dan sentiasa berada di dalam kesedaran yang tinggi kepada Allah. Sebagai seorang muslim, isu Palestin sentiasa kita bincangkan; walaupun ia bermusim.
Namun, teringat saya kepada kisah pemimpin-pemimpin Hamas yang tidak pernah gentar berhadapan dengan organisasi Zionis yang tidak berperikemanusiaan ini. Almarhum Syeikh Ahmed Yassin dibunuh dan syahid pada tanggal 22 March 2004 sebaik sahaja keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh. Penggantinya Abdul Aziz Rantisi, seorang berpendidikan tinggi namun memilih hidup untuk berjuang di jalan Allah.
Sanggup memilih hidup di dalam kesusahan di khemah-khemah dari hidup mewah dengan harta kebendaan yang melimpah ruah. Ketika ditanya di dalam satu sesi temuduga sebaik sahaja beliau menggantikan Syeikh Ahmed Yassin, apakah beliau tidak takut menghadapi nasib yang sama seperti Syeikh Ahmed Yassin yang dibunuh?
Jawapan yang diberikan, dari saya mati disebabkan sakit jantung, lebih baik saya mati dibunuh dan syahid di jalan Allah dan alhamdulillah pada tanggal 17 April 2004, beliau juga ditembak mati dan gugur sebagai syahid. Kisah-kisah pemimpin Hamas ini sering membuat saya bertanya pada diri saya sendiri dan kepada Allah. Ya Allah di manakah tempatku di sisi Mu, hebatnya mereka hingga membuat saya merasa sangat kecil, terasa diri ini tidak memberi impak sewajarnya kepada perjuangan Islam jika dibandingkan dengan mereka.
Kali ini saya ingin berkongsi apa yang diajarkan Allah tentang konflik. Pengajaran ini saya perolehi apabila saya berhadapan dengan konflik yang melibatkan saya dengan seorang sahabat saya. Saya rasa menyesal dengan apa yang berlaku namun alhamdulillah sebelum sempat saya merasa begitu sedih, Allah menyejukkan hati saya dengan memantapkan lagi kefahaman saya tentang konflik. Saya kongsikan kefahaman ini dalam satu sesi latihan yang kami anjurkan baru-baru ini.
Di dalam sesi latihan itu, peserta diminta membincangkan tentang berbagai konflik yang dihadapi di dalam kehidupan, samada konflik dalam diri, keluarga atau masyarakat. Saya bertanya kepada para peserta, kenapa dalam hidup kita ada banyak konflik, bukankah Allah Maha Penyayang, kenapa kita perlu dihadapkan dengan berbagai konflik dalam kehidupan, peserta memberikan pelbagai reaksi dan respon.
Saya katakan kepada mereka, bagaimana seorang perenang mahu jadi perenang yang hebat? Mereka kata kena berlatih bersungguh-sungguh. Apakah yang dilalui ketika berlatih? Tanya saya. Mereka jawab berbagai-bagai kesusahan dan kepayahan. Apakah mungkin seorang perenang boleh jadi perenang hebat jika tidak melalui proses dilatih dengan penuh kepayahan dan kesusahan?
Tidak, jawab mereka penuh kepastian. Begitu jugalah dengan diri kita. Kerana Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang maka kita semua akan diproses dengan berbagai-bagai konflik dalam kehidupan untuk membentuk kita menjadi insan yang hebat, yang sabar, yang jujur, yang kuat, yang bersemangat dan sebagainya.
Dalam kehidupan ini kita akan berhadapan dengan berbagai sikap dan personaliti manusia yang berbeza. Ada personaliti yang membuatkan kita benci sesama kita. Contohnya, ramai kita yang sering berhadapan dengan orang-orang yang kita rasa ‘sukar’ atau kita term-kan sebagai ‘difficult people’. Samada orang yang pemarah, orang yang kedekut, orang yang sombong dan sebagainya. Cuba bayangkan orang itu, saya akan membayangkan salah seorang bos saya yang sangat menyusahkan saya kerana saya merasakan dia seorang yang ‘perfectionist’ dan saya terpaksa mengubah kertas kerja saya hampir lebih 10 – 15 kali!
Sebenarnya Allah ingin memproses kita melalui orang-orang ini, seperti perenang hebat tadi. Bila kita berhadapan dengan orang yang cepat marah, kita sedang diproses untuk menjadi orang yang sabar, bila kita berhadapan dengan orang yang ‘perfectionist’, kita sedang diproses untuk memberikan hasil kerja yang berkualiti dan sebagainya. Bayangkan kalau orang-orang ini tidak ada di dunia ini? Semua orang baik, bagaimana kita akan diproses? Pasti kita tidak jadi diri kita sekarang bukan?
Nah, mulai sekarang berbahagialah dengan apa saja konflik yang kita hadapi dan senyumlah dalam hati apabila bertemu dengan orang-orang yang berbagai sikap dan personaliti dan katakan di dalam hati, aku sedang diproses. Semoga kita jadi manusia hebat, insya-Allah.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tinggallah komen sikit yea....( ^◡^)っ✉